PETALING JAYA, 1 April- Laluan antara Seafield dan Bandar Saujana Putra ditutup kepada semua kenderaan sebagai langkah keselamatan susulan kebakaran paip saluran gas di Putra Heights, berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) pagi tadi.
Menurut PLUS Malaysia Berhad, pengguna yang menghala ke selatan akan dilencongkan ke Plaza Tol Seafield dan masuk semula ke Lebuhraya ELITE melalui Plaza Tol Bandar Saujana Putra.
"Pengguna yang menghala ke utara pula diarahkan keluar di Plaza Tol Bandar Saujana Putra dan masuk semula ke Lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol Seafield," menurut kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, semua laluan masuk ke Lebuhraya ELITE melalui Plaza Tol USJ dan Putra Heights turut ditutup bagi memastikan keselamatan pengguna.
"Ini adalah langkah keselamatan untuk mengelakkan sebarang risiko kepada pengguna jalan raya," menurut kenyataan.
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan lebih teliti dan menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps bagi mengelakkan kesesakan.
"Kami menggalakkan pengguna untuk mendapatkan maklumat trafik terkini dan merancang laluan alternatif," tambah kenyataan tersebut.
Bagi mereka yang memerlukan bantuan atau ingin melaporkan sebarang kecemasan, PLUS menyediakan talian PLUSLine di 1800-88-0000.
Maklumat trafik terkini boleh diperoleh melalui Aplikasi PLUS atau Pembantu Maya PUTRI.
BERITA BERKAITAN
- CAAM larang dron di kawasan kebakaran Putra Heights
- Kebakaran: Tiga stesen minyak PETRONAS ditutup sementara
- Kebakaran Putra Heights: Tujuh mangsa diselamatkan - Bomba
- Saluran paip gas punca kebakaran telah diasingkan - PGB
- 'Doakan keselamatan bomba, penduduk di Putra Heights' - Ahli Parlimen Subang
- Bomba sahkan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights
- Tular: Kebakaran besar kebocoran gas di Putra Heights