fb fb fb fb fb

CAAM bangunkan kerangka kawal selia ekonomi altitud rendah

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kanan) bergambar pada Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu CAAM / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 17 September – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan membangunkan kerangka kawal selia khusus bagi sektor ekonomi altitud rendah yang merangkumi teknologi dron, teksi udara dan pesawat tanpa pemandu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah itu penting bagi merangsang pertumbuhan industri baharu tersebut, dengan keselamatan kekal sebagai keutamaan utama.

“Ini merupakan bidang baharu yang perlu kita pelopori kerana ia berkait rapat dengan pembangunan ekonomi serta inisiatif kerajaan termasuk smart city.

“Smart city sudah tentu akan menggunakan teknologi dron sebagai salah satu elemen penting. Ekonomi altitud rendah akan menjadi pemacu baharu, dan CAAM mesti memahami keadaan semasa serta ke hadapan dari segi kawal selia kerana tanpa kerangka ini, ia sukar berkembang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan identiti korporat baharu CAAM, hari ini.

1709 LOKE CAAM LOW ALTITUDE EKONOMI 2Menteri Pengangkutan, Anthony Loke / Foto Bernama

Ekonomi altitud rendah merujuk kepada aktiviti ekonomi yang menggunakan ruang udara pada paras rendah.

Mengulas lanjut, Loke berkata CAAM akan mengambil pendekatan kawal selia yang lebih seimbang – tidak terlalu ketat – bagi memastikan industri berkenaan terus berkembang tanpa mengabaikan aspek keselamatan.

Katanya, sektor penerbangan merupakan industri yang sangat dikawal selia dengan pelbagai peraturan, namun ada antaranya sudah tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa dan perlu dikaji semula.

“Kalau terlalu banyak kawal selia, susah untuk pemain industri menembusi pasaran. CAAM perlu meneliti semula peraturan yang tidak lagi relevan dan membuat pindaan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Terdahulu, beliau menyaksikan pelancaran logo dan identiti korporat baharu CAAM yang selari dengan peranannya sebagai pengawal selia tunggal industri penerbangan negara selepas penggabungan dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 1 Ogos lalu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN