IPOH, 27 Januari- Seorang pekerja buruh binaan warga Bangladesh maut selepas terjatuh dari ketinggian lapan meter di tapak pembinaan Perkeso di Bandar Meru Raya, Ipoh, pagi tadi.
Mangsa berusia 43 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad menerusi kenyataan berkata, panggilan mengenai kejadian diterima pada pukul 9.06 pagi.
Pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya digerakkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, mereka mendapati mangsa telah terjatuh dari kerangka besi berketinggian lapan meter ketika sedang melakukan kerja-kerja pembinaan.
Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan telah dibawa ke lokasi lapang oleh pekerja lain.
Pihak bomba mengaplikasikan konsep SAVER dengan melakukan pemeriksaan dan memberi bantuan pernafasan kepada mangsa.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.