(Abdul Malik Rosli diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Seremban)
SEREMBAN, 27 Oktober- Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang juruteknologi pergigian, empat tahun lalu.
Hakim, Azizul Azmi Adnan menetapkan hukuman itu terhadap tertuduh, Abdul Malik Rosli, 24 tahun, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Azizul Azmi dalam penghakimannya menegaskan mahkamah tidak memberi budi bicara memandangkan tiada hukuman lain dalam kesalahan membunuh itu kecuali hukuman gantung sampai mati.
Pada 12 Februari 2018, media melaporkan tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson atas pertuduhan membunuh juruteknologi pergigian.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Mahussin Abdul Rahim, 28 tahun, di sebuah unit di tingkat 4 Kuarters Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson pada pukul 1.40 pagi, 19 Januari 2018.
Mayat Mahussin ditemukan oleh rakannya selepas 72 jam dilaporkan hilang dan tidak datang bekerja pada 22 Januari 2018.
Suspek melarikan diri menggunakan motosikal mangsa dan siasatan polis membawa kepada penahanannya di sebuah rumah di Johor Bahru, pada 30 Januari.
Hasil soal siasat polis, suspek mendakwa mengenali mangsa melalui aplikasi WeChat dan dijanjikan pekerjaan menyebabkan dia datang ke rumah mangsa menaiki bas, namun mangsa didakwa tidak menepati janji lalu berlaku pertengkaran sebelum suspek membunuh mangsa.
(Kompleks Mahkamah Seremban)