fb fb fb fb fb

Buli hingga dorong mangsa bunuh diri boleh dipenjara hingga 10 tahun

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said/Foto Parlimen

PUTRAJAYA, 11 Ogos –  Individu melakukan gangguan, ancaman, buli, penghinaan atau salah guna maklumat identiti termasuk dalam talian, boleh dipenjara hingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya di bawah pindaan Kanun Keseksaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750] itu melibatkan peruntukan Seksyen 507B hingga 507G yang turut meliputi situasi mendorong cubaan membunuh diri atau kematian akibat provokasi.

“Jika mangsa diprovokasi sehingga mencuba atau membunuh diri akibat provokasi tersebut, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pindaan itu, yang mendapat Perkenan Diraja pada 25 Februari dan diwartakan pada 7 Mac lalu, bertujuan menangani secara khusus isu buli dan gangguan dalam pelbagai bentuk termasuk dalam talian.

Azalina berkata, setiap rakyat bertanggungjawab memahami serta mematuhi undang-undang ini.

"Orang ramai digalakkan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) atau Jabatan Bantuan Guaman yang menyediakan khidmat penerangan secara percuma sekiranya timbul kekeliruan.

Beliau turut menyeru semua kementerian, agensi, pertubuhan dan institusi mengemas kini pengetahuan warga kerja mengenai perkembangan undang-undang terkini, serta memastikan dasar dan prosedur dalaman selaras dengan peruntukan baharu tersebut.

“Perlu diingat, kejahilan undang-undang bukan alasan di sisi undang-undang.

"Kefahaman yang jelas mengenai hak dan tanggungjawab di bawah undang-undang merupakan langkah pertama membina masyarakat yang lebih selamat, beretika dan berperikemanusiaan,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN