KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang menggubal Akta Koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502] demi memastikan sektor koperasi kekal relevan dan berdaya saing.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, penggubalan itu dilaksanakan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan mengambil kira perkembangan sosioekonomi, kemunculan teknologi baharu dan keperluan tadbir urus yang lebih berakauntabiliti.
"KUSKOP bersama agensinya iaitu SKM sedang menggubal Akta Koperasi yang baharu bagi menggantikan Akta 502," katanya.
Beliau menjawab demikian ketika sesi soal jawab lisan dalam Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya.
Jelasnya, ia juga berdasarkan keperluan mewujudkan undang-undang yang lebih relevan, responsif dan inklusif, memperkukuh peranan pengawal selia serta selari dengan dapatan dua kajian berkaitan koperasi pada tahun 2023.
Tambahnya, Akta Koperasi baharu itu akan memberi perlindungan terhadap hak anggota, menambah baik peranan Anggota Lembaga Koperasi (ALK), memperkasa kawal selia, meningkatkan sumbangan kepada sosioekonomi, membuka peluang pekerjaan dan membolehkan peluasan aktiviti selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13.