fb fb fb fb fb

Buli dan media sosial punca krisis mental remaja

Datuk Seri Dr Wan Azizah (tiga dari kanan) ketika merasmikan Program Kesedaran Kesihatan Mental 'Suka Dalam Duka' di ibu negara/Foto RTM

CHERAS, 23 Ogos - Fenomena buli dan pengaruh negatif media sosial dikenal pasti sebagai pencetus utama peningkatan masalah kesihatan mental dan cubaan bunuh diri dalam kalangan anak muda.

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak merangkap Pengerusi KASIH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut beliau, isu kesihatan mental kini semakin meruncing dan memerlukan kerjasama menyeluruh daripada pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, petugas barisan hadapan dan komuniti setempat.

Beliau berkata, latihan komprehensif kepada doktor, kaunselor dan pegawai yang menerima panggilan kecemasan adalah penting, di samping pelaksanaan inisiatif seperti Talian Kasih, SAFE First Aid, kerjasama agensi termasuk LPPKN dan MAIWP.

“Stigma terhadap kesihatan mental mesti dihapuskan. Kita perlu buka ruang perbincangan terbuka dan wujudkan sistem sokongan yang berkesan,” katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Kesihatan Mental “Suka Dalam Duka” di Dewan Serbaguna Alam Damai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan mesej negatif daripada media sosial kini menjadi cabaran besar kepada remaja
kerana sukar dipantau oleh ibu bapa.

“Kalau dulu kita boleh pantau anak-anak, sekarang mesej negatif masuk senyap-senyap melalui telefon. Itu antara cabaran besar,” katanya.

Dr Wan Azizah turut menekankan bahawa budaya empati, penggunaan bahasa yang baik dan nilai kasih sayang perlu dipupuk sebagai langkah pencegahan jangka panjang.

Program anjuran Parlimen Bandar Tun Razak dengan sokongan pelbagai agensi itu dihadiri lebih 150 peserta, majoritinya daripada golongan B40.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.##

ASHRIQ FAHMY AHMAD