SHAH ALAM, 30 Mei- Tempoh pendaftaran dan caruman pekerja dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sempena Bulan Pemutihan yang berakhir esok dilanjutkan selama sebulan lagi hingga 30 Jun depan.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, perkara itu bagi memberi peluang kepada lebih ramai majikan untuk terlibat dalam caruman itu selain menerima sambutan menggalakkan pelaksanaan Bulan Pemutihan.
"Bagi tempoh dari 15 Mei iaitu pelancaran Bulan Pemutihan sehingga 29 Mei lepas, Perkeso merekodkan lonjakan pendaftaran majikan baharu sebanyak 31.8 peratus atau 7,370 majikan, berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya.
"Pendaftaran pekerja baharu meliputi warga tempatan dan asing pula, peningkatan 34.1 peratus direkodkan meliputi 126,041 pekerja baharu yang berdaftar untuk tempoh sama," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2024 Peringkat Zon Tengah di sini.
Dalam pada itu Sim juga mahu setiap majikan mengambil peluang untuk melaksanakan tanggungjawab kepada pekerja sekali gus mengelak daripada dikenakan tindakan.
Majikan yang gagal mendaftar dan membayar caruman Perkeso boleh dikompaun sehingga RM5,000 mengikut kesalahan atau boleh dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar serta dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika didapati bersalah di mahkamah.
Perkara itu sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan menambah jumlah pendaftaran serta caruman ke atas pekerja.