PUTRAJAYA, 30 Mei- RTM bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam menerbitkan program 'Finale OOTD'.
Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) RTM, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, 'Finale OOTD' adalah usaha memperkasa pelajar bidang Pendidikan dan Latihan dan Teknikal Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang terdapat di politeknik dan kolej komuniti.
"Fesyen adalah bidang pertama yang kita fokuskan, seterusnya kita akan meneroka pula bidang-bidang lain yang terdapat di politeknik dan juga di kolej-kolej komuniti untuk kita tonjolkan dalam program-program RTM, sama ada dari segi pertandingan realiti ataupun dalam bentuk kandungan kreatif yang lain", katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Mohd Zahari Ismail yakin kerjasama yang utuh, antara RTM dan juga politeknik akan terus dapat diperkasa, bukan sahaja dalam bidang fesyen, malah melibatkan bidang lain seperti kulinari, pelancongan, agroteknologi, kejuruteraan dan sebagainya.
'Finale OOTD' yang menghimpun para pelajar politeknik dan kolej komuniti itu akan mula disiarkan di saluran RTM bermula Jun ini.