(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)
KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Kandungan berbentuk patriotik perlu dirancakkan menerusi semua platform media sosial bersempena meraikan Bulan Kebangsaan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berpandangan ketika ini penghasilan kandungan berunsur patriotisme di platform media sosial dilihat berkurangan.
"Perkara ini dalam kalangan generasi muda perlu kita rancakkan. Di pihak kementerian, kita akan berhubung dengan beberapa pempengaruh untuk mereka mengambil peluang menyatakan rasa cinta kepada negara dan menjadi ikutan ramai anak muda lain yang menggunakan aplikasi media sosial," katanya.
Fahmi berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Pelancaran Hari Kebangsaan Hari Malaysia 2023 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di ibu negara.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapan perasmiannya berkata rakyat Malaysia sememangnya mempunyai jati diri yang tinggi dan penghayatan semangat patriotisme yang mendalam.
Beliau berkata saban tahun pelbagai idea kreatif dizahirkan masyarakat dalam meluahkan rasa cinta terhadap negara, serta dikongsi menerusi pelbagai platform terutamanya media sosial.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai pelbagai program yang dianjurkan sepanjang Bulan Kebangsaan dan maklumat lanjut boleh dilayari menerusi Portal Merdeka360 iaitu www.merdeka360.my atau Facebook, Instagram dan Twitter @Merdeka360.
(Fahmi pada Majlis Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Pelancaran Hari Kebangsaan Hari Malaysia
2023 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di ibu negara.
Dalam perkembangan lain mengenai pemerkasaan Bahasa Melayu Fahmi berkata ia perlu dilaksana seiring dengan perkembangan sektor ekonomi digital.
Justeru katanya kerjasama kementerian bersama jabatan dan agensi kerajaan dilihat mampu merealisasikan hasrat itu.
"Bagi pihak KKD, saya lihat ada peluang untuk libatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama Jabatan Penyiaran khususnya RTM untuk meluaskan dan merakyatkan beberapa terma atau frasa yang kurang kita kenali terutama dalam bidang teknologi. Bagi kami, sektor ekonomi digital memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi terutama dalam tempoh 10 tahun ke depan. Maka perlu ada usaha untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seiring pertumbuhan bagi sektor ekonomi digital," jelasnya.