KANGAR, 1 Oktober -Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) disambut baik oleh rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, yang menganggap langkah itu sangat membantu meringankan beban kos bahan api harian.
Di Perlis, rata-rata pengguna meluahkan rasa syukur dan menghargai keprihatinan kerajaan dalam menyediakan bantuan bersasar yang memberi impak positif kepada kehidupan mereka, terutamanya golongan bekerja yang perlu berulang-alik setiap hari.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana beri BUDI95. Ia banyak membantu saya yang selalu berjalan jauh untuk ulang alik di dua negeri ni, Alhamdulillah, terima kasih, ia amat membantu," penjawat awam, Umi Nabila Md Akhir.
"Ia sangat bagus, terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan MADANI sebab turunkan harga. Selama ini pun mak cik memang isi minyak hari-hari, boleh dikatakan tinggi la juga penggunaan mak cik sebelum ini, terima kasih," warga emas Zahini Ishak.
"Kerajaan dah bagi dah semua, pada saya memang sangat membantu. Saya bukanlah orang senang, kerajaan bagi bersyukur Alhamdulillah," pesara, Abdul Latif Abu
"Proses nak isi minyak pun mudah, cuma masukkan MyKad, saya amat-amat berterima kasih lah dengan pemberian daripada kerajaan ini," penjawat awam, Siti Fazlina.
Pelaksanaan inisiatif BUDI95 yang bermula semalam telah memberi manfaat kepada kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
Sebelum ini, BUDI95 telah dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama bermula pada 27 September, melibatkan anggota polis dan tentera, diikuti fasa kedua pada 28 September untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).