KUALA LUMPUR, 1 Oktober - Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dikeluarkan di Putrajaya, Kuala Lumpur dan enam negeri hingga 12.00 tengah hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, ia melibatkan Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak di Perak manakala di Pahang melibatkan kawasan Bentong dan Temerloh serta Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Keadaan sama diramal melanda Negeri Sembilan (Seremban dan Port Dickson), Melaka serta Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian)," menurut MetMalaysia.
Sementara itu, MetMalaysia turut memaklumkan gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter berlaku di Laut Bali, Indonesia pada 12.49 tengah malam tadi.
Gempa yang berpusat pada kedalaman 10 kilometer itu dikesan 128 kilometer Timur Laut dari Probolinggo, Indonesia.
Tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia.