KOTA BHARU, 26 September - Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, hari ini menjadi tumpuan orang ramai yang hadir untuk menukar atau memperbaharui MyKad.
Hasil tinjauan mendapati orang ramai mula hadir ke kaunter JPN sebaik sahaja dibuka operasi pada pukul 8 pagi.
Walaupun dalam jumlah kehadiran yang ramai, namun proses untuk menukar atau memperbaharui MyKad berjalan dengan lancar, tersusun dan cepat.
Menurut seorang penerima Program Budi Madani RON95 (BUDI95), Nik Zakaria Nik Ahmad, beliau hadir ke kaunter JPN sebaik sahaja disahkan layak menerima bantuan subsidi.
Beliau terpaksa menukar MyKadnya selepas mendapati cipnya rosak ketika menjalankan urusan di salah sebuah bank, bulan lalu.
Menurutnya, bagi memastikan tidak timbul masalah di stesen minyak sebaik sahaja BUDI95 dilaksanakan, beliau mengambil keputusan memperbaharui MyKad miliknya.
"Datang tukar MyKad sebab cip rosak, sebab saya memang layak dapat Budi Madani RON95 untuk subsidi minyak, sayo dapat tahu cip rosak pada bulan lepas semasa saya berurusan di bank, itu yang saya tahu cip rosak dan hari ini saya datang untuk tukar cip, takut ada masalah untuk saya tuntut minyak subsidi nanti," kata Nik Zakaria.
"Saya tukar kad pengenalan baharu ini untuk dapat subsidi minyak, dapat subsidi minyak, saya dapat tahu daripada berita mengatakan kena tukar MyKad untuk dapatkan subsidi minyak petrol ini," jelas Wan Abdullah Wan Ismail, penerima BUDI95.
Terdahulu, media melaporkan JPN menyediakan kemudahan penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September hingga 7 Oktober ini susulan pelaksanaan BUDI95.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penukaran cip MyKad boleh dibuat di mana-mana kaunter dan pejabat JPN seluruh negara.
Kemudahan tersebut dianggar melibatkan perbelanjaan sebanyak RM714,660 termasuk kos lain yang berkaitan kepada kerajaan.
Pelaksanaan BUDI95 yang memerlukan MyKad sebagai pengesahan identiti bagi membolehkan rakyat menikmati penggunaan bahan bakar itu pada kadar subsidi RM1.99 bermula hujung bulan ini.