fb fb fb fb fb

Naik taraf Lapangan Terbang Tawau lonjakkan ekonomi Sabah

Loke (tengah) menyempurnakan majlis pecah tanah projek cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau. Foto Bernama

TAWAU, 26 September - Lapangan Terbang Tawau bakal berwajah baharu, lebih moden, selesa dan selamat selepas projek menaik taraf dijangka siap pada tahun 2028.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, projek bernilai RM120.9 juta itu akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat khususnya dalam sektor pelancongan dan perdagangan melalui fasiliti moden dan selesa.

Justeru, pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan kerja-kerja menaik taraf siap mengikut jadual.

"Saya yakin projek ini dapat kita laksanakan mengikut jadual iaitu selama 36 bulan. Lapangan Terbang Tawau ini bukan sahaja penting untuk Sabah tetapi juga untuk negara kerana ia menjadi pintu masuk kepada pelancong antarabangsa," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau di sini.

Projek menaik taraf tersebut melibatkan peningkatan kapasiti terminal penumpang daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta orang setahun.

Proses naik taraf turut melibatkan pembesaran dan penambahbaikan terminal utama, termasuk ruang pelepasan dan ketibaan serta penambahan lantai baharu dan pengubahsuaian fasiliti sedia ada.

Lapangan terbang tersebut juga akan dilengkapi zon daftar masuk, imigresen dan imigresen yang lebih selesa dan mematuhi piawaian antarabangsa.
 
Menerusi projek tersebut, Loke yakin yakin Tawau mampu menjadi pintu masuk utama pelancong luar negara, sekali gus melonjakkan industri pelancongan dan pembangunan ekonomi Sabah.

JALALUDDIN BIN BAHARIN