SUNGAI PETANI, 26 September - Syarikat pengangkutan darat awam dan pengangkutan darat barangan yang belum mempunyai fleet card boleh membuat permohonan tuntutan bayaran balik tunai dibawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) mulai 30 September ini.
Kemudahan itu disediakan bagi membolehkan syarikat berkaitan membuat tuntutan perbezaan harga RON95 yang telah dibayar pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga subsidi RON95 SKPS iaitu RM2.05 seliter.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan prihatin terhadap kebimbangan syarikat-syarikat yang masih belum mendapatkan fleet card pada tarikh penyasaran subsidi petrol RON95 bermula 30 September ini.
Beliau berkata, kelayakan untuk permohonan tuntutan bayaran balik tunai RON95 pada harga tanpa subsidi di bawah SKPS adalah tertakluk kepada beberapa syarat.
Antaranya, syarikat perlu mengemukakan rekod telah mendaftar dibawah SKPS dan telah memohon fleet card sebelum atau pada 31 Oktober 2025.
Pembayaran balik tunai adalah untuk tempoh pembelian petrol mulai 30 September 2025 sehingga 31 Oktober 2025 atau sehingga tarikh fleet card diterima syarikat pengangkutan, yang mana lebih awal.
Permohonan bayaran balik tunai boleh dibuat melalui platform yang sama iaitu SKPS di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
Semua tuntutan bayaran balik tunai wajib disokong dengan bukti resit pembelian petrol RON95 dan dan dimuat naik dalam SKPS.
"Pembayaran balik tunai akan dikreditkan ke dalam akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai oleh pentadbir SKPS di KPDN", katanya pada sidang media selepas melawat Karnival Jelajah KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Utara di Dataran Amanjaya Mall, di sini, hari ini.
Katanya, bermula 15 hingga 25 September lalu, rekod pendaftaran SKPS telah melibatkan jumlah kumulatif 5 ribu 233 syarikat dengan 12 ribu 955 kenderaan bagi seluruh negara.
Angka itu jauh berbanding sasaran 100 ribu kenderaan pengangkutan darat awam dan pengangkutan darat barangan yang layak mendapat manfaat subsidi dengan kadar sedia ada 2 ringgit 5 sen seliter berbanding harga pam tanpa subsidi sekitar 2 ringgit 60 sen seliter.
Sebarang pertanyaan berkaitan bayaran balik tunai dibawah SKPS boleh diajukan ke Pusat Panggilan SKPS: 03-88825893/5894/5923/6667 atau melalui emel: