KUALA LUMPUR, 22 September - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersedia menambah waktu pengoperasian Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai pada Sabtu dan Ahad bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang, berkuat kuasa pada 27 September hingga 26 Oktober depan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI95 bermula 30 September ini.
Beliau berkata, penambahan waktu operasi kaunter itu berkuat kuasa di semua pejabat JPJ negeri dan cawangan di seluruh negara.
"Dengan pelaksanaan inisiatif ini, JPJ yakin dapat membantu rakyat memanfaatkan inisiatif yang diumumkan kerajaan dengan lebih menyeluruh, di samping meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu yang sah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Langkah itu bagi memberikan lebih ruang dan fleksibiliti kepada orang ramai, khususnya individu yang mempunyai kekangan masa pada hari bekerja untuk memperbaharui lesen memandu.
Pelaksanaan BUDI95 bakal memberi manfaat kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.