fb fb fb fb fb

Tiada toleransi terhadap kenyataan ganggu prosiding mahkamah

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 22 September – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang berpotensi menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah.

Kenyataan itu dibuat susulan ucapan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, pada majlis Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan, 20 September lalu, yang menyentuh mengenai kes melibatkan Zara Qairina.

Menurut AGC, kandungan ucapan berkenaan berpotensi menimbulkan persepsi salah dalam kalangan masyarakat dan mengganggu prosiding yang sedang berlangsung.

Jabatan itu sedang meneliti setiap kandungan kenyataan tersebut dan memberi amaran bahawa tindakan tegas, termasuk prosiding penghinaan mahkamah, boleh diambil selepas penelitian selesai.

"AGC sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau melakukan perbuatan yang boleh mencetuskan kekeliruan atau mengganggu perjalanan prosiding mahkamah," jelas kenyataan itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE