KOTA KINABALU, 22 September - Kes kebocoran maklumat melibatkan seorang saksi kanak-kanak dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang tular di media sosial kini disiasat polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda menerusi satu kenyataan berkata, laporan diterima pada 19 September lalu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, polis telah merakam percakapan pengadu, membuat permohonan analisis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta berusaha mendapatkan keterangan pihak Pendakwa Raya dan peguam terlibat.
Polis juga giat mengesan suspek sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pihak berwajib.
Beliau menegaskan, sebarang pendedahan maklumat berkaitan kanak-kanak di media sosial adalah satu kesalahan undang-undang.
Sebelum ini, peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang saksi kanak-kanak membuat laporan polis berhubung kebocoran maklumat yang menyebabkan saksi enggan memberi keterangan pada Jumaat lalu.