fb fb fb fb fb

BUDI95 bermula, individu layak puas hati

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 September - Tepat pukul 12.00 tengah malam tadi, inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mula dilaksanakan di seluruh negara pada harga RM1.99 seliter, sebagai langkah baharu kerajaan menyalurkan subsidi secara bersasar kepada rakyat.

Tinjauan RTM di sebuah stesen minyak di Teknologi Park Malaysia, di ibu negara mendapati beberapa pengguna sudah mula beratur lebih awal untuk mengisi bahan api berkenaan.

3009 NSL REAX BUDI951
Omar Baki Ijar

Seorang pengguna, Omar Baki Ijar, 55 tahun, dari Bagan Serai, Perak, secara kebetulan menjadi antara warganegara terawal mengisi BUDI95 di lokasi berkenaan.

"Sebenarnya saya pun tak sangka. Saya dari Melaka, berhenti sebab nak minum. Ada yang beritahu boleh mula isi minyak BUDI95. Jadi saya isi, kebetulan minyak memang dah nak habis," katanya.

Walaupun tidak merancang untuk menjadi pengguna pertama, beliau menyifatkan rezeki itu sebagai permulaan baik khususnya kepada warganegara.

3009 NSL REAX BUDI9523
Mohamad Zul Alwadi

Turut berkongsi pandangan positif ialah Mohamad Zul Alwadi, 32 tahun, yang melihat pelaksanaan itu sebagai langkah tepat kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan, khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya amat teruja dan bersyukur kerana inisiatif ini dapat mengurangkan perbelanjaan rakyat," ujarnya.

3009 NSL REAX BUDI952
Lim Siew Sin

Sementara itu, seorang lagi pengguna Lim Siew Sin, 28 tahun berkata, proses melalui sistem digital yang disediakan sangat mudah dan lancar.

"Minyak saya memang dah habis, jadi terus datang isi. Saya sudah daftar sebagai penerima subsidi dan pengesahan MyKad serta pengecaman wajah semuanya cepat. Sampai saja di sini, saya terus boleh gunakan pautan untuk isi minyak," katanya.

Kira-kira 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati manfaat inisiatif BUDI95 yang dilancarkan sekali gus memberikan kelegaan kepada orang ramai terhadap perbelanjaan harian.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI