KUALA LUMPUR, 30 September - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan lima sistem digital baharu ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang lebih cekap, selamat dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, selain menyediakan perkhidmatan yang terbaik, ia juga seiring kemajuan teknologi dan kehendak semasa rakyat.
"Antara sistem utama yang diperkenalkan ialah BRID 2.0, Adu@KL, Portal Rasmi DBKL versi baharu, KL City Manager, serta inisiatif KL Free WiFi.
"Pelaksanaan sistem ini bertujuan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memudahkan urusan harian warga kota secara lebih pantas dan sistematik," menurut kenyataan itu.
Melalui Adu@KL, penduduk ibu kota kini mempunyai akses kepada platform aduan digital yang membolehkan sebarang isu atau cadangan disalurkan terus kepada DBKL secara mudah dan inklusif.
Keberkesanan sistem itu dapat dilihat apabila semakin banyak aduan berjaya diselesaikan, mencerminkan peningkatan tahap kecekapan perkhidmatan bandar raya.
Selain aspek operasi, DBKL turut memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan digital.
"Menerusi pelaksanaan Dasar Keselamatan Siber DBKL 2025, langkah proaktif diambil seperti memperkukuh sistem firewall, memasang pemantauan ancaman masa nyata serta menjalankan latihan kesedaran keselamatan siber secara berkala kepada kakitangan.
"Pendekatan ini menggariskan bahawa keselamatan digital bukan hanya tanggungjawab organisasi, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk warga kota," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Kuala Lumpur turut memainkan peranan penting di peringkat serantau apabila diberi mandat untuk mempengerusikan Mesyuarat Datuk Bandar dan Gabenor Ibu Kota ASEAN 2025, selain menyokong inisiatif pembentukan AI Cities Network bagi Asia Tenggara.
Peranan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai peneraju dalam bidang bandar pintar, khususnya dalam mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara adil, telus dan beretika.
Majlis pelancaran bertemakan 'Keselamatan Digital, Tanggungjawab Bersama' diadakan di Auditorium DBKL di ibu negara.
Ia disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, dengan kehadiran Pengarah-Pengarah Eksekutif DBKL serta wakil rakan strategik seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), MyDigital ID, ITMAX System Berhad dan BlackBerry.