fb fb fb fb fb

Budaya songsang tidak diterima di Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 28 Mei - Budaya songsang tidak akan pernah diterima sebagai norma di negara ini, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau dalam satu kenyataan memandang serius berkaitan penganjuran sebuah program bertemakan Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness yang didakwa bertujuan meraikan Pride Month sehingga tular di media sosial.

Menurutnya, meskipun program tersebut bersifat tertutup namun ia jelas bertentangan dengan norma masyarakat dan nilai agama yang dianuti oleh majoriti rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan menolak sebarang bentuk naturalisasi budaya LGBTQ serta menggesa penganjur program tersebut untuk menghentikan segala aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang negara dan nilai moral masyarakat.

Beliau turut menyeru pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan segera dan mengambil tindakan jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang.

Institusi-institusi agama termasuk JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri juga diingatkan untuk memainkan peranan dalam penguatkuasaan undang-undang, terutamanya jika ia melibatkan penyertaan umat Islam.

Semua pihak turut diseru bersama mempertahankan struktur sosial dan moral masyarakat  daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah, akhlak dan keharmonian negara.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE