SEREMBAN, 28 Mei- Universiti ELMU menawarkan 18 biasiswa penuh melalui Yayasan ELMU bernilai lebih RM500,000 kepada keluarga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh yang terlibat dalam tragedi, 13 Mei lalu.
Ketua Eksekutif dan Naib Canselor ELMU, Datuk Profesor Dr. Kassim Noor Mohamed berkata biasiswa itu akan diberikan kepada anak-anak dan ahli keluarga setiap individu yang terkorban atau cedera dalam insiden tersebut.
Jelasnya, biasiswa berkenaan merangkumi yuran pengajian penuh dan perbelanjaan berkaitan pendidikan.
"Kami ingin menghargai pengorbanan mereka yang telah gugur dengan memberikan peluang pendidikan kepada keluarga mereka untuk meneruskan kehidupan. Dengan menawarkan satu biasiswa penuh kepada setiap 18 keluarga yang terkesan, kami berharap dapat memberikan bukan sahaja kelegaan, tetapi juga harapan dan laluan bermakna untuk masa depan anak-anak dan orang tersayang mereka.
Ini adalah usaha kami untuk memastikan legasi mereka diteruskan melalui peluang dan pembelajaran," katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, selain daripada pemberian biasiswa, yayasan itu juga telah menyumbangkan bantuan kewangan terus sebanyak RM22,500 kesemua waris.
"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada respons kolektif yang lebih besar, di mana lebih RM738,000 dalam bentuk bantuan telah dikumpulkan melalui sumbangan daripada agensi kerajaan, yayasan amal dan organisasi swasta," jelas kenyataan itu.
Antara penyumbang termasuk Tabung Kebajikan dan Khairat Kematian Kontinjen Polis Perak, Koperasi Polis Diraja Malaysia, Yayasan Insan Sakan, YAPEIM, Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd, ELMU University dan lain-lain.
Bantuan kewangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu majlis yang berlangsung di Mess Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh, pada Ahad.