fb fb fb fb fb

Budak perempuan korban pertama banjir di Terengganu

BESUT, 18 Disember - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun 1 bulan menjadi korban pertama banjir di Terengganu.

Mangsa, Nur Hilwa Idris Mohd Haris Zaifan dilaporkan lemas selepas terjatuh melalui pintu dapur rumahnya yang dinaiki air sebelum dihanyutkan arus deras.

Kejadian berlaku di Kampung Apal, Jerteh, di sini kira-kira pukul 3.00 petang tadi.

Ketika kejadian, ibu saudara mangsa sedang membuat persiapan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), mangsa dilaporkan keluar sendiri melalui pintu dapur sebelum terjatuh.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui penduduk kampung, di dalam parit berhampiran rumah kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian pukul 3.40 petang tadi, dan dibawa ke hospital untuk tindakan dan siasatan lanjut.


(Mangsa, Nur Hilwa Idris (kanan))

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohami Md Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, berharap penduduk terjejas banjir lebih berhati-hati dan sentiasa cakna dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS.

Beliau turut menasihati ibu bapa atau penjaga lebih berhati-hati dan peka keselamatan anak- anak ketika musim banjir ini.

Media Baharu