fb fb fb fb fb

Budak 6 tahun ditemui lemas di Pantai Puteri

MELAKA, 4 November - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun ditemukan lemas di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, mayat Amirul Asyraff Fakrul dijumpai jam 6.22 petang oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mayat mangsa berjaya ditemui pada pukul 6.22 petang dalam keadaan terlentang di atas pasir pada jarak 30 meter dari pesisiran pantai,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi, hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Mangsa dikhuatiri lemas selepas hampir tiga jam dilaporkan hilang ketika bermain di pantai tersebut.

(Pasukan operasi mencari dan menyelamat mengangkat mayat  
Amirul Asyraff Fakrul yang ditemui lepas petang tadi)

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, murid TADIKA itu dikatakan ke pantai bersama empat rakan dan sepupunya.

Ketika di pantai, katanya, mangsa didakwa naik ke atas konkrit pembetung dan beberapa kali terjun ke air sebelum tiba-tiba tenggelam.

“Mereka sebenarnya berempat dan bermain bersama-sama selepas selesai menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.

“Dua kanak-kanak bagaimanapun telah pulang ke rumah, namun mangsa serta sepupunya telah ke pantai dan menurut saksi mangsa bertindak terjun dari tembok batu beberapa kali sebelum akhirnya lemas,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Media Baharu