fb fb fb fb fb

Bubar Parlimen, kuasa penuh budi bicara YDP Agong - PM

BERA, 15 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan Charles Santiago yang memfailkan saman terhadap beliau susulan pembubaran Parlimen turut mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa penuh budi bicara dalam pembubaran Parlimen yang tidak boleh dipersoalkan selepas mendapat permintaan daripada Perdana Menteri.

"Ada pihak yang cuba mencabar iaitu Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago. Apabila mencabar, kes akan dibawa ke mahkamah. Alasannya, saya perlu mendapat persetujuan daripada kabinet sebelum saya boleh mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan. Dia guna Perkara 40 (1) dan saya gunakan Perkara 40 (2)(b) yang mana Perdana Menteri boleh membuat permintaan bukan menasihati YDP Agong.

Yang di-Pertuan Agong boleh perkenan atau tidak perkenan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa penuh dan tidak boleh dipersoalkan," kata Ismail dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Konvensyen Bera, hari ini.


(Foto Fail/BERNAMA)

Baru-baru ini, Charles Santiago yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Klang mengemukakan saman pemula berhubung pembubaran Parlimen yang diumum Perdana Menteri pada 10 Oktober lalu.

Semalam, Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula berkenaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) perlu menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) agar menjadi dominan di Putrajaya.

Ismail berkata, ia bagi membolehkan keputusan penting dilaksanakan dengan mudah.

Tambah beliau lagi, kemenangan BN perlu ditambah dengan kerjasama rakan-rakan parti dari Sabah dan Sarawak bagi menghilangkan 'rasa tidak stabil' tanpa perlu mengharap ihsan pihak lain.

Meski kini beliau menjadi Perdana Menteri, namun BN hanya memiliki 42 kerusi yang menyebabkan rasa tidak stabil.

Walaupun pembangkang telah tandatangan perjanjian memorandum persefahaman, namun jika mereka tidak memberi sokongan dalam Parlimen ketika mengundi, keputusan penting sukar dicapai sebulat suara.

Media Baharu