fb fb fb fb fb

Buat aksi 'wheelie', remaja direman 3 hari

KOTA BHARU, 28 April- Mahkamah Majistret Kota Bharu mengeluarkan reman selama tiga hari terhadap seorang remaja berusia 17 tahun kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Jalan Pasir Puteh, Peringat, di sini, baru-baru ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret, Mohammad Fitri Mokhtar bermula hari ini hingga 30 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Bagaimanapun permohonan reman terhadap isterinya berusia 16 tahun yang juga pembonceng ditolak atas alasan hanya sebagai saksi pertuduhan dan perlu dibebaskan.

(Foto fail)

Pasangan remaja terbabit tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada pukul 9.50 pagi untuk permohonan perintah reman.

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan pasangan terbabit melakukan aksi 'wheelie' sebelum mereka tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, semalam.

Media Baharu