PUTRAJAYA, 26 Jun - Buah-buahan import tertentu termasuk epal dan oren akan diberikan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengecualian itu susulan maklum balas orang ramai berhubung harga buah tempatan dan import.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun kerajaan mahu menggalakkan rakyat mengutamakan buah-buahan tempatan seperti jambu, rambutan dan durian, langkah pengecualian cukai ke atas dua buah import utama itu dibuat bagi memastikan golongan berpendapatan rendah masih mampu mendapat pilihan makanan sihat.
"Semalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita dengar keluhan rakyat, ada yang masih nak makan epal dan oren sebab lebih murah.
"Jadi, walaupun ada sedikit cukai untuk import buah-buahan lain, kita beri pengecualian untuk epal dan oren,” katanya dalam ucapan pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota MADANI, di sini.
Perdana Menteri berkata keutamaan tetap diberikan kepada buah-buahan tempatan yang kaya dengan khasiat dan mudah diperoleh mengikut musim.
Dalam pada it beliau turut memberitahu kerajaan bersetuju menaikkan had nilai ambang bagi perusahaan kecil dan penjaja mikro daripada RM500,000 kepada RM1 juta.. Perincian mengenai perkara itu akan diumumkan kemudian.