fb fb fb fb fb

35 geran penyelidikan fokus pembangunan asnaf di Perlis

Foto FCoEE

KANGAR, 26 Jun - Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) sehingga kini telah memperuntukkan RM 245,000 bagi menyediakan Geran Penyelidikan Berkaitan Asnaf di Perlis.

Pengarah Eksekutif FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, pengagihan Geran Penyelidikan berkenaan memanfaatkan 35 pasukan penyelidik dari 10 pusat pengajian tinggi dan agensi berkaitan pendidikan seluruh negara.

Tumpuan utama penyelidikan melibatkan keusahawanan asnaf, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dana zakat dan wakaf, tekanan psikologi dalam kalangan asnaf, mata pelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), celik kewangan asnaf, kesihatan dan gaya hidup sihat serta motivasi, pengajaran dan pencapaian akademik asnaf.

Penyelidikan yang dilaksanakan mampu menghasilkan data berkualiti yang boleh dijadikan rujukan utama dalam merangka dasar inisiatif pembangunan negeri Perlis secara komprehensif.

"Ia juga diterbitkan dalam jurnal berindeks dan buku prosiding bagi memastikan  penyelidikan ini dapat dijadikan rujukan serta memberikan impak lebih meluas kepada masyarakat. Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin sebenarnya telah berjaya mengumpulkan para penyelidik dan juga pakar-pakar dalam bidang psikososial, sosial, kejuruteraan dan bidang sains untuk memikirkan tentang pembangunan asnaf itu sendiri dan bakal mewujudkan Pusat Penyelidikan Asnaf," katanya menerusi satu kenyataan.

Institusi terlibat dalam penyelidikan berkenaan termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Utara Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

TETITIA YUSOFF