KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Seorang lelaki lemas selepas bot yang dinaiki bersama dua rakan terbalik ketika memukat ikan di Ladang Rakyat, Mak Lagam, Kemaman.
Pengarah JBPM Terengganu, Mohd Hilman Abd Rashid berkata keadaan ombak yang tinggi serta air pasang besar ketika ini berisiko kepada pengunjung.
"Pada awal tahun baru ini kita disambut dengan kehilangan seorang mangsa yang sedang memukat ikan di Cheneh.
Ini adalah mangsa yang pertama di gelombang yang ketiga Di negeri Terengganu dan kita minta supaya angka ini tidak berubah kekal dengan satu dan Insya Allah kita doa sama-samasupaya sampai ke bulan tiga nanti mangsa ini tetap satu," katanya selepas membuat rondaan air pasang besar di Kampung Duyong, Kuala Terengganu.
Untuk itu, katanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu terus mengingatkan orang ramai supaya mematuhi amaran tidak melakukan sebarang aktiviti air sepanjang musim tengkujuh.
"Rondaan serta peringatan berterusan akan terus dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.