fb fb fb fb fb

Bot nelayan 'tarik tepi' ditahan di Langkawi

(Bot nelayan tempatan kelas B ditahan melakukan aktiviti 'tarik tepi')

LANGKAWI, 15 Disember- Sebuah bot nelayan tempatan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis di kedudukan kira-kira tiga batu nautika barat Tanjung Belua di sini, semalam.

Pengarahnya, Romli Mustafa berkata, penahanan itu dibuat kira-kira pukul 1.55 tengah hari ketika bot ronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis sedang melakukan operasi Op Aman di perairan tersebut.

Bot pukat tunda berkenaan ditahan bersama seorang tekong dan empat kru yang kesemuanya warga tempatan berusia lingkungan antara 19 hingga 56 tahun.

Romli berkata kesemua suspek ditahan di zon larangan perikanan ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda (tarik tepi).

Siasatan awal menjumpai hasil laut seberat 600 kilogram di dalam bot berkenaan.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah lima batu nautika dari pantai.

Ujar beliau, kegiatan 'tarik tepi' sukar dikesan kerana kumpulan berkenaan tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot ingin melepasi jarak lima batu nautika daripada pantai.

"Aktiviti menangkap hasil laut kurang lima batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut," katanya di sini.

(Maritim Malaysia tahan seorang tekong dan empat kru warga tempatan berusia
lingkungan 19 hingga 56 tahun)

Media Baharu