SUNGAI PETANI, 27 Oktober- Tiga sekeluarga terselamat selepas kenderaan mereka terbabas dan terbalik di dalam semak Jalan Bukit Selambau, Ladang Tai Seng Sungai Petani, Kedah, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata seorang mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan.
(Foto Ihsan Bomba Kedah)
"Setibanya di lokasi, Komander Operasi PBK II Rashid Mamat melaporkan sebuah kenderaan terbabas dan memasuki kawasan semak berhampiran dengan keempat-empat tayar disebelah atas, dan dalam keadaan kereta terbalik terdapat seorang mangsa terperangkap dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Amanjaya manakala dua lagi mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam," katanya.
Mangsa dikenali Salizan Sopian 44 tahun, Shahidah Mohd Nasir 24 tahun dan Roslina Md Amin 44 tahun.
Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Petani untuk rawatan lanjut.