KOTA BHARU, 21 Januari- Polis mengesahkan penemuan objek menyerupai bom berukuran panjang 40 sentimeter di perkarangan Rumah Seri Kenangan, Taman Kemumin, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan,semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki berusia lingkungan 40-an sekitar pukul 1.19 petang yang menemukan bom tersebut ketika hendak menggali lubang bagi tujuan penanaman kabel menggunakan jentera 'backhoe'.
Bertindak atas maklumat itu, pihak polis dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bergegas ke lokasi kejadian.
"Hasil pemeriksaan, anggota mengesahkan bahawa objek berkenaan merupakan Unexploded Ordinance (UXO) jenis bom mortar 81 mm dengan panjang 40 cm yang sudah berkarat dan tiada sebarang tandaan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bom tersebut berjaya dimusnahkan di satu kawasan yang selamat sekitar 4.17 petang semalam.
Menurut beliau, tiada sebarang kemalangan atau insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang proses pemusnahan bom terbabit dijalankan.