fb fb fb fb fb

Peningkatan kos haji adalah wajar, masih berpatutan- Zulkifli

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan

SEREMBAN, 21 Januari- Peningkatan kos melaksanakan ibadah haji sebanyak lapan peratus disifatkan wajar dan masih berpatutan berikutan kos ditanggung oleh Lembaga Tabung Haji (TH) semakin bertambah ketika ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, walau pun berlaku kenaikan kos haji, TH memperuntukkan bantuan kewangan haji (HAFIS) kepada golongan B40 dan M40.

Jelasnya, aspek pertukaran mata wang, kesan daripada pandemik COVID-19 dan cukai nilai tambah (VAT) adalah antara faktor peningkatan kos haji tahun ini.

"Kita mahu tidak mahu melihat kepada perkembangan dunia termasuk dari aspek pertukaran mata wang termasuk kesan daripada COVID-19 yang masih ada lagi dan juga cukai dan sebagainya.

"Perkembangan ini tidak mampu tidak kita terpaksa juga meningkatkan kos itu namun kita harus ambil maklum bagaimana pihak TH dan pihak kerajaan cuba untuk memastikan bahawa kos ini tidak menjadi beban dengan memberi bantuan kewangan yang sangat besar kepada bakal jemaah haji kita pada tahun ini. Dalam kalangan B40 kerajaan memperuntukkan bantuan kewangan haji (HAFIS) sehingga 63 peratus daripada kos haji , manakala 42 peratus bagi M40," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Asas Haji Tahun 2023/2024 di Masjid Qaryah Paroi Jaya, di sini, hari ini.

Pada Jumaat lepas, TH mengumumkan kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk menunaikan ibadat itu tahun ini ditetapkan RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lepas. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu tahun ini ditetapkan pada RM12,356, M40 (RM19,152), manakala bagi kumpulan T20, mereka akan dikenakan bayaran penuh kos iaitu RM33,300 seorang.

ZEHRA BINTI ZAMBRI