SUNGAI BESI, 20 Mei- Kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus diperjuang khususnya membabitkan perumahan, kesihatan dan pendidikan termasuk melalui pelaksanaan Blueprint Perumahan 3.0 yang menyasarkan pembinaan 12,733 Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata RKMAT akan dibina pada tahun 2023 hingga 2030.
"Agenda kita ini merupakan sesuatu yang cukup penting bagi membela kebajikan warga dan anggota ATM warga awam Kementerian Pertahanan dan juga veteran-veteran kita serta keluarga masing-masing," katanya selepas Majlis Prapelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan dan Menandatangani Perjanjian Jual Beli Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di sini.
(Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyampaikan ucapan sempena
Majlis Prapelancaran Blueprint Perumahan 3.0 dan Menandatangani Perjanjian Jual Beli Perumahan SASaR di sini.
Tambah beliau, di bawah pelan perumahan itu juga, 974 unit rumah akan dibina di Kem Wardieburn dan 6,400 unit lagi akan dibina di Genting Klang.
Pembinaan itu akan dijalankan secara berperingkat pada tahun 2027 hingga 2033.