KOTA BHARU, 13 Jun- Pembinaan rumah pam baharu bernilai RM27 juta di Kelantan dijangka dapat menyelesaikan masalah pengairan sawah padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dalam tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang.
Pengerusi KADA, Muhamad Husain berkata pembinaan rumah pam KEMUBU 3 merupakan inisiatif jangka panjang yang mampu menampung pengairan di seluruh kawasan itu yang bersaiz lebih 26,000 hektar.
Kerja-kerja pembinaan KEMUBU 3 telahpun bermula sejak awal Jun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2025 dan dapat memanfaatkan lebih 7,000 pesawah terlibat.
"Berhubung isu ketiadaan air di KEMUBU 3, kita akan libatkan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk kita selesaikan masalah ini," kata Muhamad kepada pemberita selepas Clock-In Pengerusi KADA ke Ibu Pejabat KADA di sini, hari ini.
(Pengerusi KADA, Muhamad Husain)
Jelas Muhamad, sebagai pengerusi baharu, beliau serta seluruh warga KADA akan terus berusaha menyelesaikan masalah dihadapi petani agar golongan terbabit terus bersemangat mengeluarkan hasil makanan negara.
Malah, KADA akan menggerakkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pendapatan petani dan tidak hanya memberi tumpuan kepada hasil padi semata-mata.
Menurut beliau, pihaknya juga bercadang untuk membina rumah pam khas untuk pengairan kawasan Pasir Puteh dan Bachok yang kini bergantung sepenuhnya kepada bekalan air di rumah pam KEMUBU 1 & 2.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan mengenal pasti lokasi sesuai untuk pembinaan pam yang dianggar menelan kos antara RM15 hingga 20 juta di kawasan seluas enam hektar yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 petani di kawasan berkenaan.