KUALA LUMPUR, 13 Jun- Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Suratcara Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Mendahului senarai 16 penerima watikah lantikan, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Manakala empat orang Hakim Mahkamah Tinggi, dikurnia watikah sebagai Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Azmi Ariffin, Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk S.M Komathy A/P Suppiah dan Datuk Dr. Choo Kah Sing.
10 lagi penerima terdiri daripada Pesuruhjaya Kehakiman, yang menerima kurniaan watikah lantikan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.
Senarai yang dilantik adalah Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor, Norliza Othman, Hasbullah Adam, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim, Roslan Mat Nor, Julia Ibrahim, Datuk Indera Mohd Arief Emran Arifin, Dr. John Lee Ken How@ Mohammad Johan Lee, Adlin Abdul Majid dan Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas.
Hadir sama dalam istiadat pengurniaan tersebut, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abdul Rahman Sebli.
Turut diundang, Timbalan Menteri di JPM (Undang-Undang & Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh A/L Karpal Singh.
(FOTO BERNAMA)