fb fb fb fb fb

Bilangan KIR miskin dan miskin tegar di Kelantan berkurangan

Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM) Jasri Kassim

KOTA BHARU, 9 Disember - Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih di Kelantan terus menunjukkan pengurangan, hasil daripada pelbagai usaha dilaksanakan Kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban golongan berkenaan.

Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM) Jasri Kassim berkata, hingga November lalu, jumlah KIR miskin tegar direkodkan adalah 9,556 berbanding 12,280 KIR berdaftar, awal tahun ini.

Jajahan Kota Bharu masih mendahului jajahan-jajahan lain di negeri itu.

"Apa yang berlaku kita laksanakan pemutihan semak semula senarai mereka yang dikatogerikan sebagai miskin tegar dan kita akan buat semakan silang dengan beberapa agensi pemberi bantuan, mereka sebenarnya ada  bantuan diberikan secara bulanan daripada jabatan-jabatan atau agensi tertentu dan kita kemaskini dan sebahagian mereka boleh dikatogerikan terkeluar daripada miskin tegar itu," kata Jasri Kassim kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah eKasih @Kota Lama di Dataran Muhammadi, di sini.

Selain pemutihan, semakan mendapati KIR terkeluar daripada garis kemiskinan tegar ini selepas mereka mendapat pekerjaan tetap menerusi program-program 'Myfuture jobs' yang diadakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sebagainya.

Hadir sama ADUN Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-BRI, Mohd Anis Hussein.

Jelas beliau, program ini dianjurkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menokhtahkan kemiskinan tegar menjelang tahun 2024 dengan menghimpunkan pelbagai jenis perkhidmatan daripada kementerian dan agensi kerajaan untuk menyantuni keperluan keluarga miskin dan miskin tegar eKasih.

Dalam pada itu, Dr Hafidzah berkata program sebegini membuktikan kerajaan berada di landasan betul iaitu dengan memastikan golongan miskin dan miskin tegar ini terkeluar daripada garis pendapatan kemiskinan menerusi pelbagai aktiviti dilaksanakan.

Malah, program seumpana ini akan diteruskan daripada semasa ke semasa dengan lebih banyak penglibatan agensi pada masa akan datang.

"Kita 'walk the talk' kita bukan bercakap kosong apabila kita mahu menokhtahkan kemiskinan maka kita bawa program-program yang sungguh membantu rakyat dengan yang menonjol, kita ada data penting dan saya berharap kita dapat memetakan dimana orang yang miskin dan miskin tegar ini supaya kita boleh membantu mereka secara bersasar," kata Dr Hafidzah.

Sempena program ini juga, lima keluarga diberi sumbangan berupa barang keperluan asas dan wang tunai, program jualan rahmah KPDN serta kaunter perkhidmatan utama kerajaan yang menawarkan secara terus  kepada golongan eKasih dan masyarakat setempat.

Jelas Jasri, pihaknya juga menyasarkan 200 peserta terdiri daripada golongan eKasih akan dilatih selepas mengikuti kursus-kursus dianjurkan sempena jelajah kali ini dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan terbabit.

10 kursus ditawarkan antaranya perniagaan sate, solekan, kuih muih, menebar roti canai, pastry, makanan sejuk beku, jahitan urutan dan sebagainya.

TETITIA YUSOFF