KOTA BHARU, 9 Disember - Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan bawah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menyerahkan kepada Bahagian Pengurusan Bencana, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk menyiasat dakwaan penipuan berkaitan bantuan banjir.
Pengarahnya Jasri Kassim berkata, perkara itu bukan bawah bidang kuasa ICU JPM dan berharap siasatan secara adil dilakukan agar mereka yang benar-benar layak menerima bantuan berkenaan.
"Kita serahkan kepada yang menguruskannya siasat secara adil dan kita fahamkan dalam musim banjir ini mungkin mereka menghadapi banyak kesukaran Insha-Allah bantuan akan diberi kepada mereka yang benar-benar berdaftar di PPS dan perkara ini akan disahkan di peringkat jawatankausa pengurusan banjir", kata Jasri selepas merasmikan Program Jelajah eKasih @Kota Lama di Dataran Muhammadi, di sini.
Media sebelum ini melaporkan, ada di antara penduduk di negeri itu didakwa sanggup menipu dengan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) semata-mata untuk mendapatkan bantuan banjir walaupun kediaman mereka tidak dinaiki air.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu didakwa telah menyebabkan mereka yang sepatutnya berpindah ke PPS dan benar-benar layak menerima bantuan terpaksa menumpang di rumah saudara mara atau berlindung di surau berdekatan.