KUCHING, 4 Oktober - Borneo Inspires Legacy Awards (BILA) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat meraikan individu dan organisasi yang mencetuskan perubahan melalui acara perniagaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran anugerah yang sebelum ini dikenali sebagai Anugerah Anak Sarawak kini diangkat ke peringkat antarabangsa dengan penyertaan terbuka kepada seluruh dunia, sambil terus mengiktiraf wira legasi dari Sarawak.
“Penganjuran ini membuktikan komitmen Sarawak memimpin dengan visi jelas apabila legasi yang dibina mampu memberi impak merentasi sempadan dan generasi.
"Saya berharap ia menjadi pemangkin inovasi serta keterangkuman, selain memperkukuh impak acara perniagaan kepada Sarawak, Malaysia dan dunia,” katanya.
Berbeza daripada anugerah tradisional, BILA mengiktiraf tiga peringkat impak iaitu Changemaker, Accelerator dan Champion.