(Foto BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Kerajaan memberi tumpuan meningkatkan keupayaan kemahiran tenaga tempatan khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi kecerdasan buatan, AI bagi menampung keperluan permintaan tenaga kerja yang bakal dijana.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi perbincangan bersama pelabur seperti Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk, Syarikat automotif China, Geely dan Infineon Technologies AG, wujud keperluan itu yang perlu diambil perhatian kerajaan.
"Soal ekosistem ini benar. Perbincangan kita dengan Elon Musk, Tesla, Geely dan Infinion yang melabur €5 bilion di Kulim Hi-Tech, semua menyatakan tahap latihan kejuruteraan kita itu memuaskan, tetapi ada yang kurangnya kemahiran yang patut kita berikan perhatian.
"Saya sudah sampaikan amanat ini kepada menteri pengajian tinggi dan naib canselor (di universiti) supaya memberikan laluan dan tumpuan dalam penerokaan bidang baharu ini termasuk pengkhususan dalam bidang AI," kata Anwar ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Anwar berkata setakat ini lapan perkara yang telah diselesaikan berkaitan tuntutan asas MA63
Manakala, empat tuntutan lagi masih di peringkat rundingan serta tindakan kementerian-kementerian terlibat bersama kerajaan Sabah dan kerajaan Sarawak.
Ini termasuk Penyerahan Kuasa Kawal Selia Elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah, Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 melibatkan (Akta 533), Kajian Semula Pemberian Khas bagi Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D dan Penyediaan Garis Panduan Khas bagi urusan penyerahan semula tanah dirizabkan.
"Bagi penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah, kerajaan Persekutuan secara dasarnya telah bersetuju supaya penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah dan SESB ini dilaksanakan secara berfasa seperti berikut:(i) Fasa 1 - pengambilalihan kuasa kawal selia pembekalan elektrik Sabah (dijangka selesai 3 Januari 2024) dan (ii) Fasa 2 - pengambilalihan SESB selepas Pelan Transformasi SESB selesai (jangkaan 2030)," kata Anwar.
(Foto BERNAMA)