fb fb fb fb fb

Bersikap sederhana dalam media sosial - Fahmi

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 8 Mei- Pengguna media sosial dinasihatkan agar sentiasa bersederhana ketika menyatakan sebarang sokongan atau sentimen dalam setiap kandungan yang dimuat naik bagi mengelak timbulnya bibit-bibit kebencian.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata demikian ketika merujuk kepada kandungan media sosial berkaitan isu serangan terhadap pemain bola sepak kebangsaan.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan mengingatkan langkah itu perlu diamalkan bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku kepada pemain bola sepak di negara ini.

"Saya ingin memberi sedikit peringatan, saya harap kita sebagai peminat bola sepak tanah air jangan lakukan sebarang tindakan di luar daripada batas undang-undang. Kita nak tengok permainan yang baik dan tak nak apa-apa insiden tidak diingini berlaku termasuk kepada pemain bola sepak," katanya dalam sidang media di sini.

Pihak polis sedang giat mengesan pemilik akaun media sosial yang didakwa menyebarkan kebencian, menyasarkan beberapa pemain bola sepak kebangsaan.

Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata hantaran media sosial itu didapati berbentuk serangan peribadi terhadap sasaran tertentu melibatkan pemain bola sepak.

Tindakan itu tidak boleh dipandang ringan, kerana ia dikhuatiri akan menimbulkan sikap kebencian berlebihan dalam kalangan masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan tiada laporan atau aduan yang diterima oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkenaan serangan peribadi terhadap pemain bola sepak kebangsaan setakat hari ini.

Beliau menegaskan pihak MCMC sedia mengambil tindakan dan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan.

"Secara umum, pihak MCMC akan mengambil sebarang tindakan berdasarkan laporan ataupun aduan yang diterima secara rasmi apabila terdapat pihak membuat aduan sama ada melalui nombor whatsapp, aduan MCMC ataupun di laman web MCMC.

"Saya tidak menerima setakat ini laporan daripada MCMC berkenaan laporan daripada pihak yang membuat aduan mengenai laman web tersebut," katanya.

Berkenaan siasatan ke atas Bloomberg, Fahmi menegaskan ia bukan arahan kerajaan sebaliknya hasil laporan polis yang dibuat oleh firma peguam syarikat yang dikaitkan dalam portal berita itu.

Fahmi berkata, siasatan itu dibuat mengikut proses undang-undang sedia ada selepas laporan polis dibuat oleh pihak Berjaya Corp Bhd (Berjaya).

"Kerajaan tidak mengeluarkan apa-apa arahan untuk menyiasat. Tetapi oleh kerana ada laporan maka laporan itu diambil oleh pihak polis dan tindakan siasatan dilakukan mengikut prosedur.

"Jadi saya tegaskan siasatan itu dibuat bukan atas arahan kerajaan tetapi hasil daripada laporan polis yang telah dibuat oleh firma guaman yang mewakili syarikat yang terkait ataupun dikaitkan dalam laporan oleh bloomberg," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI