fb fb fb fb fb

Laporan awal nahas helikopter TLDM diumum esok

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 Mei- Laporan awal siasatan nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 23 April lalu akan diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin esok.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata laporan penuh siasatan dijangka siap tiga minggu lagi.

"Beliau memaklumkan kepada jemaah menteri bahawa laporan awal akan diterbitkan esok dan ini adalah untuk makluman semua laporan awal dan belum lagi mempunyai lengkap secara keseluruhan."

"Kita jangkakan menteri pertahanan telah memaklumkan jangkaan laporan penuh akan siap mungkin dalam tempoh 2 ataupun 3 minggu akan datang," kata Fahmi kepada pemberita dalam Sidang Media Mingguan, di Putrajaya selepas mesyuarat bersama jemaah menteri, hari ini.

Tragedi yang berlaku pada 23 April lalu melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM.

Helikopter HOM-AW139 terhempas di balapan Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut, sewaktu raptai latihan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM