KUALA PERLIS, 3 Februari- Lebih 100 peserta terdiri pelajar Kolej Vokasional Kangar dan penduduk Kampung Bukit Papan dan Kampung Telok mencurah keringat bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Bukit Papan.
Program itu diselaraskan Persatuan Amal Bakti Perlis (PABPs) sebagai satu tanggungjawab sosial bersama komuniti setempat.
Menurut Pengerusi Persatuan Amal Bakti Perlis (PABPs), Areff Affandy Ariffin, selain rasa tanggungjawab, usaha membersihkan kawasan perkuburan itu adalah untuk memberikan imej lebih sempurna, menjaga kebersihan dan memberi suasana selesa kepada ahli keluarga yang datang menziarah pusara ahli keluarga.
"Aktiviti gotong royong ini dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk setempat dan mendidik sikap tanggungjawab dalam diri, khususnya buat golongan belia."
"Selain itu, aktiviti sebegini mampu menerbitkan rasa keinsafan di kalangan umat Islam yang masih hidup bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui pencipta-Nya," kata Areff kepada pemberita kepada ketika mengetuai Program Gotong-Royong Membersihkan Kawasan Tanah Perkuburan Bukit Papan.
Program sebegitu akan dilaksanakan secara berkala bagi mendidik jiwa untuk sentiasa berbakti dan menolong orang lain dengan melakukan amal kebaikan tanpa mengira usia.
Selain itu, semangat kesukarelawanan dapat diterapkan dalam diri pelajar terlibat melalui satu pasukan untuk membantu masyarakat menerusi sumbangan tenaga dalam aktiviti amal yang dijalankan.