fb fb fb fb fb

Syarikat telekomunikasi digesa selesaikan aduan pengguna dengan segera - Fahmi

Foto RTM

KUANTAN, 3 Februari- Semua pihak penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih diminta mengambil tindakan segera jika terdapat aduan talian oleh pengguna di seluruh negara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata sebarang penambahbaikan perlu dilaporkan kepada kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau berkata ketika ini pihaknya bersama agensi terlibat sedang menjalankan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) secara berperingkat bagi menilai isu panggilan suara terputus bagi rangkaian mudah alih.

Malah, kerajaan dengan kerjasama SKMM sedang berusaha menyelesaikan masalah liputan 5G yang masih kurang memuaskan di beberapa kawasan di negeri itu.

"Saya selepas ini akan berbincang dengan MCMC dan pihak DNB untuk kita teliti perkara yang boleh dilakukan pada kadar segera. Ia bagi membolehkan lebih banyak menara menyediakan perkhidmatan 5G.

"Seperti yang kita sedia maklum, secara keseluruhan kita telah capai 80.2% capaian di kawasan berpenduduk," kata Fahmi kepada pemberita dalam sidang media Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Goh, di sini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri SKMM, Bukhari Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.

Ujian dilakukan di sepanjang laluan dari Sungai Karang menuju ke PEDi FELDA Bukit Goh dengan melalui beberapa jalan dan kawasan utama di Kuantan. 

Sepanjang ujian dilaksanakan, terdapat satu panggilan terputus telah direkodkan. 

Pahang merupakan lokasi ketiga selepas dua sesi diadakan di Putrajaya dan Melaka.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM