fb fb fb fb fb

Berita bunuh diri perlu dilapor media secara berhemah

(Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni pada program Malaysia
Suicide Awareness Voice of Hope (MySAVE) di Cyberjaya)

CYBERJAYA, 31 Julai - Tiada halangan pihak media untuk melaporkan berita berkaitan tingkah laku bunuh diri namun ia perlu dilakukan secara berhemah dan lebih sensitif.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyediakan garis panduan pelaporan berhemah berkenaan tingkah laku bunuh diri antaranya mengelak daripada memaparkan nama dan gambar mangsa serta tidak memperincikan cara bunuh diri.

"Kita memohon ehsan dari pengamal media untuk kita menggunakan penulisan yang berhemah ataupun 'guideline' yang kita telah gariskan dan juga buku panduan yang kita berikan kepada pengamal pengamal media.

"Pelaporan bunuh diri boleh menyebabkan trauma kepada pembaca terutamanya individu yang mengenali si mati dan individu yang berisiko membunuh diri," katanya.

Ujarnya pelaporan berita yang terlalu memperincikan kaedah bunuh diri berpotensi memberikan idea kepada  individu yang mengalami masalah mental sekali gus terdedah kepada peniruan cara bunuh diri.

Namun, katanya terdapat 'sudut positif' pelaporan berita mengenai tingkah laku bunuh diri seperti mengulas berkenaan simptom kesihatan mental dan maklumat berkaitan kaedah atau platform mendapatkan bantuan.


(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

Lukanisman ditemui ketika merasmikan program Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope (MySAVE) di sini hari ini.

Program MySAVE merupakan inisiatif yang berbentuk tindakan afirmatif bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan aktiviti pencegahan tingkah laku bunuh diri di peringkat kebangsaan.

Antara pengisian program itu ialah pemantauan pelaporan media mengenai tingkah laku bunuh diri, promosi Talian HEAL 15555 dan latihan pencegahan bunuh diri kepada pegawai polis, bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Setakat 22 Julai lepas, Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental (NCEMH) yang beroperasi sejak Oktober 2022, telah menerima 22,074 panggilan menerusi Talian HEAL 15555

Sebanyak 66 peratus atau 14,537 individu telah menerima bantuan sokongan dan emosi manakala 7,537 individu telah diberikan intervensi khusus oleh pegawai psikologi kaunseling menerusi pusat itu. 

Media Baharu