KUALA LUMPUR, 31 Julai - Mesyuarat khas bagi menyelesaikan secara menyeluruh isu skim veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpencen dan tidak berpencen akan diadakan, Isnin depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu berkaitan Skim Perkhidmatan dan Persaraan melibatkan golongan tersebut kali terakhir dibincangkan adalah pada tahun 2012.
"Kita akan adakan mesyuarat pertama secara menyeluruh, mengkaji dan membuat pembaharuan dalam skim perkhidmatan awam dan juga bagaimana boleh meningkatkan kedudukan pendapatan dan semua skim perkhidmatan.
"Ini termasuk yang pertama kali soal veteran dan juga veteran tidak berpencen jumlahnya agak besar. Jadi saya tidak fikir ada penyelesaian kalau kita berikan bantuan-bantuan 'one off' seperti ini dan melihat semula kepada golongan pasukan angkatan keselamatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM di Wisma Perwira, di sini.
Dalam pada itu, Anwar turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk turut serta memberi perhatian kepada keperluan dan kebajikan veteran ATM.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet Rabu ini yang antara lain memerlukan syarikat berkaitan untuk menyerap veteran ATM dalam program pemerkasaan yang dilaksanakan.