fb fb fb fb fb

Berbuka di kawasan tumpuan ramai, warga Terengganu diingatkan jaga kebersihan

KUALA TERENGGANU, 6 April- Warga Terengganu yang mengambil peluang berbuka puasa di luar, khususnya di kawasan tumpuan ramai, pantai dan taman awam disarankan menjaga kebersihan serta tidak meninggalkan sebarang sisa-sisa sampah.

Ini termasuklah bekas makanan dan minuman yang harus dibuang ke tempat sepatutnya seperti tong-tong sampah yang disediakan Pihak Berkuasa Tempatan-PBT, iaitu di sekitar lokasi berkenaan.

Tegas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak, kumpulan atau individu yang melanggar arahan itu boleh dikenakan kompaun RM50 serta merta, dan denda maksimum sehingga RM2,000 khususnya di daerah Kuala Terengganu.

Namun ketika ini, pihaknya masih mengambil inisiatif memberi nasihat dan memohon pengunjung menerapkan amalan menjaga kebersihan bersama.

"Kalau sampah merata-rata ini, imej kita akan rosak, sama ada denda ataupun teruk sangat, kita buat perintah barulah pula nanti tidak boleh makan di tempat lapang.

"Jadi kita semua mesti ada rasa tanggungjawab untuk jaga kebersihan di persekitaran kita," kata Dr. Alias.


(Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan DanĀ Alam Sekitar, Dr. Alias Razak)

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan dan kempen menjaga kebersihan diri dan makanan di Bazar Ramadhan, Dataran Shahbandar Kuala Terengganu. Turut hadir Datuk Bandar MBKT, Rozali Salleh.

Untuk rekod, pada awal Januari tahun ini sehingga selasa lalu, 120 orang telah dikenakan kompaun Majlis Bandaraya Kuala Terengganu-MBKT kerana didapati bersalah membuang atau meninggalkan sampah di sekitar kawasan Taman Shah Bandar.

Beliau turut menyarankan para peniaga makanan agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengikuti segala SOP ditetapkan sebelum ini oleh pihak Kementerian Kesihatan KKM.

Selain tidak menggalakkan golongan ibu bapa membawa anak-anak kecil terutama bayi kerana mereka mudah terdedah serta tidak dilindungi sebarang imunisasi daripada jangkitan virus COVID-19 terutama ketika berada di kawasan ramai orang, seperti bazar Ramadan ini.

Media Baharu