fb fb fb fb fb

300 khidmat sukarela daerah SIK terima sumbangan Ramadan

SIK, 6 Mac - 300 khidmatan sukarela daerah Sik menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Kedah.

Penerima sumbangan terdiri daripada guru Al-Quran sukarela, bidan kampung, juru mandi jenazah, bomoh patah dan penggali kubur.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka yang diraikan adalah watak-watak yang sangat penting dalam kehidupan sejak sekian lama.

Seawal kelahiran, kita disambut ke muka dunia oleh bidan. Walaupun sekarang sudah ada bidan kerajaan beruniform putih, namun ada perbezaan antara seorang bidan profesional dengan bidan kampung yang berkhidmat secara sukarela dalam masyarakat kita.

“Apabila mencapai tahap usia tertentu, setiap orang kena masuk jawi. Di sini, peranan mudim dalam masyarakat tradisional adalah sangat penting.”

“Kita belajar mengenal al-Quran yang kemudian menentukan tahap bagaimana kita beragama dalam meniti kehidupan dunia sebagai jambatan ke akhirat,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada Khidmat Sukarela peringkat Daerah Sik di Masjid Al-Irfan, Gajah Puteh di sini.

Beliau berkata, khidmat yang mereka lakukan adalah secara sukarela dan bukannya mengejar wang ringgit semata-mata.

“Kita kagum dengan kesanggupan mereka untuk membantu masyarakat tanpa mengira waktu. Mereka sanggup datang pada bila-bila masa dipanggil.

“Walaupun usaha yang mereka lakukan bukanlah pekerjaan yang bergaji namun di sisi Allah, mereka adalah sangat mulia dan di sisi masyarakat, jasa serta pengorbanan mereka adalah sangat bermakna,”ujar Sanusi.

Pada majlis itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi yang juga ADUN Jeneri turut menyampaikan sumbangan kepada lima buah masjid iaitu Masjid Al Irfan Qariah Gajah Putih, Masjid Al Maa'rif Qariah Jeneri, Masjid Tajuddin Qariah Kuala Ruman, Masjid Al Falah Qariah Kampung Betong, dan Masjid Al Muttaqin Qariah Padang Chichak Mukim Jeneri.

Setiap masjid menerima sumbangan berjumlah RM 5,000.



(Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyampaikan sumbangan)

 

Media Baharu