fb fb fb fb fb

Tarik balik sekatan eksport ayam? Belum ada tarikh - Nanta

KUCHING, 6 Ogos - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kerajaan belum lagi menetapkan tarikh bagi menarik balik sekatan pengeksportan ayam.

Keputusan seumpama itu perlu melibatkan pertimbangan semua pihak yang memainkan peranan sebuah industri yang besar, katanya.

“Perkara ini telah dibincangkan di peringkat Kabinet sebelum ini… Sebarang keputusan mengenai perkara ini akan diumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta kementerian berkaitan,” katanya selepas membuat tinjauan ke pameran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Sarawak di sini hari ini.

Tambah Nanta buat masa ini bekalan ayam di peringkat domestik berada pada paras mencukupi.

“Kita difahamkan untuk ayam ada lebihan bekalan, walaupun ada harga maksimum kita dapati ayam dijual jauh lebih rendah daripada harga tersebut (maksimum) di banyak tempat,” katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada 4 Ogos lalu berkata, sekatan pengeksportan ayam pedaging hidup yang masih berkuat kuasa adalah bersifat sementara, iaitu sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil sepenuhnya.

Ronald berkata kerajaan juga sedar peningkatan kos pengeluaran ayam berikutan kenaikan kos makanan ternakan dan pemberhentian eksport memberi kesan kepada pulangan penternak.

Menurut Ronald, bagi meringankan beban penternak ayam, pedaging dan ayam penelur, kerajaan turut bersetuju memberi subsidi berjumlah RM1.1 bilion.

Media Baharu