ALOR SETAR, 27 Disember - Golongan belia diseru supaya kekal aktif serta sihat dari segi minda dan jasmani bagi membentuk idealisme, sekali gus melahirkan individu yang berwibawa.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata golongan muda perlu dipersiapkan bukan sekadar untuk menjalani kehidupan seharian, sebaliknya agar mampu menggalas tanggungjawab yang lebih besar pada masa hadapan, termasuk menjadi pemimpin negara.
“Kita mahu mempersiapkan anak muda bukan hanya untuk menjalani kehidupan seharian, tetapi yang lebih penting, belia yang mampu menggalas tanggungjawab lebih besar pada masa akan datang dan menjadi pemimpin negara. Pemimpin datang dan pergi, tetapi peranan anak muda tidak terhenti di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmi dan melepaskan peserta larian bersempena Hari Aspirasi Belia Negeri Kedah 2025, di sini pada Jumaat.
Program anjuran Gerakan Belia 4B Negeri Kedah itu menjadi platform kepada golongan belia untuk mengutarakan aspirasi serta inspirasi, selain menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat.